sebarang penerbitan karya immukmin daripada blog http://coretanhambamu-immukmin.blogspot.com tanpa kebenaran adalah salah sama sekali. tindakan akan di ambil kepada sesiapa yang melakukannya.
adakah aku cintanya? episod 3

Sesekali aku melihat Anis termenung. Pernah sekali aku melihat dia menangis dibirai tangga. Sepanjang perkahwinan aku dengan Anis, aku tidak pernah melihat Anis gembira. Dia sering tersenyum tetapi senyumannya itu hanya sekadar di mulut sahaja. Pada pendapat aku hatinya mungkin parah. Anis tidak pernah bercerita atau berkongsi masalah dengan aku. Bila ditanya, “Anis ada masalah ke?” Yang dijawab hanya,

“Anis tak ada apa-apa, Abang. Abang jangan risaukan diri Anis.”

Itu jawapannya. Aku rasa susah hati dengan dirinya. Kadang-kadang dia berperwatakan amat manja, kadang-kadang dia seperti wanita yang berduka. Apa yang telah memagar hatinya? Siapa sebenar Anis? Itu pertanyaanku.

Aku tidak pernah mengenal Anis sebelum ini dan Anis tidak pernah tahu kewujudan aku. Perkahwinan antara Zulramzan dan Anis Alwani adalah hasil pertemuan dua keluarga. Aku tidak tahu sama ada Anis terima aku atau tidak. Aku sendiri tidak pasti yang aku tahu. Jawapan daripada ibu bapanya mengatakan Anis setuju. Kenapa Anis menjadi seperti ini? Kenapa? Adakah ini disebabkan aku? Pernah aku bertanya kepada Anis,

“Anis, adakah Anis redha dengan perkahwinan ini?”

“Demi Anis ditanganNya, Anis redha Abang. Anis tidak pernah menyesal dengan perkahwinan ini.”

“Tapi mengapa Anis seakan-akan tidak selesa selama kita berkahwin?”

“Anis bersyukur dengan perkahwinan ini. Anis bersyukur.”

Aku layari bahtera rumah tangga ini penuh dengan tanda tanya. Mengapa dan mengapa Anis seperti ini, apakah yang menimpanya sebelum ini adalah sebab dia menjadi seperti ini? Hatinya penuh dengan kelukaan. Ada sesuatu yang tersirat di dalam sangkar hatinya sehinggakan dia tidak mahu bercerita kepadaku. Apa yang menyebabkan Anis menjadi seperti ini?

Aku pernah mendengar cerita daripada mamaku. Mama cakap Anis seorang yang periang, manja, petah bercerita. Tapi yang pasti, mama pernah memberitahu yang Anis telah berubah setelah Anis dan keluarganya kembali ke Malaysia setelah bermustautin di Mesir selama 20 tahun. Mama dan umi Anis adalah sahabat baik. Mereka sama-sama belajar di Mesir dahulu. Mereka memang bercita-cita hendak mengahwinkan anak mereka sejak dahulu lagi. Mama pernah berjumpa dengan Anis sewaktu kecil dahulu. Memang Anis anak yang pintar, cantik dan baik. Terubat hati mama melihat keletahnya. Tapi itu dulu. Sekarang mama sendiri tidak mengetahui kenapa Anis berubah setelah kembali ke Malaysia.

Aku mencari puncanya, tidak pernah putus asa. Aku mencari-cari dan mencari sehinggakan aku sendiri dah buntu.

Hari ini aku ingin menjadi suami yang mulia di sisi Allah. Aku bangun berqiamullail, aku bersyukur dengan peluang kedua yang Allah telah beri kepadaku.

Hari ini aku lihat Anis begitu lena tidur. Tiada yang terungkap pada wajahnya, hanya redupan manis terpancar pada wajahnya. Sebelum aku bangun dari tempat tidur untuk ke bilik solat, ku tatap wajah manis Anis. Sungguh mulia wanita ini. Ku raut rambutnya, ku usap pipinya. Aku begitu kagum pada wanita ini. Setelah itu, aku pergi mendapatkan putera kesayanganku, ku cium pipinya. Semoga putera ini menjadi anak yang soleh. Aku bersihkan diriku dan aku menghadap Ilahi. Dalam doa aku berdoa semoga diberikan petunjuk oleh Allah untukku supaya aku dapat mengetahui keperitan hidup isteriku.

Setelah itu, aku mengambil al-Qur’an dan membaca bait-bait kalimah Allah yang maha hebat. Syahdu hatiku. Aku telah lama melupakannya kerana sibuk dengan dunia. Syukran ya Allah kerana mengurniakan aku isteri yang solehah yang sentiasa mengingatkanku kepada Mu. Aku tidak pernah berada lama di dalam bilik solat ini, cukup sekadar solat dan keluar. Tidak pernah aku beriktiqaf di dalamnya. Aku pun tidak mengetahui betapa indah susunan bilik ini dan betapa harumnya bilik ini. Tidak hairanlah kalau Anis sering bersendiri di dalam bilik ini. Setelah aku selesai membaca surah ar-Rahman, aku tutup kalam Allah itu.

Ku cium dan ku kucup mashaf itu. Setelah itu, ku dekati rak-rak yang penuh dengan bahan bacaan ilmiah. Ku lihat setiap tajuk buku. Semuanya berkaitan agama dan hampir semua buku berbahasa Arab. Anis selalu ke kedai buku membeli kitab-kitab Arab. Dia memang fasih bertutur dalam bahasa Arab. Dia amat cintakan bahasa Arab. Semua buku penuh di dalam rak itu. Ku tilik setiap tajuk tapi tidak ku faham kerana aku sendiri tidak memahami bahasa Arab. Tidak hairanlah pernah aku melihat Anis menangis membaca al-Qur’an kerana dia faham apa yang dibaca. Tetapi aku, ah! Sekadar membaca dan tidak faham maksud ayat-ayat Allah itu. Ku tilik dan ku tilik semua buku, semua ada tajuk. Tetapi di hujung rak itu aku ternampak satu buku yang disampul kemas, indah, cantik. Ku belek buku itu. Semuanya bertulis dalam bahasa Arab. Satu pun tidak aku faham tetapi aku tertanya apa yang ada pada buku ini. Sepertinya nota ringkas yang ditulis oleh Anis, tulisnya dalam bahasa Arab. Satu patah pun aku tidak faham. Pada muka surat pertama ada satu tulisan yang aku hanya pandai menyebut tetapi tidak mengetahui maksudnya. Tulisan itu disulam dengan tulisan khat yang cantik menggunakan pen berdakwat emas cantik. Ada dua patah perkataan "أنيس اليوميات") - Anis Al-Yawmiyaat). Perkataan kedua aku tidak memahami tetapi perkataan pertama seakan-akan nama Anis. Ku hafal tulisan itu. Tiba-tiba aku dengar laungan azan subuh berkumandang dan bilik air berbunyi seperti ada orang yang sedang mandi. Ku simpan semula buku itu di tempat asal. Aku duduk di atas sejadah, aku tunggu Anis untuk berjemaah solat subuh.

Anis masuk ke bilik solat, semerbak harum tubuhnya. Aku kagum dengan wanita ini. Amat dijaga penampilannya ketika berdepan dengan Allah. Aku malu, aku malu dengan Allah. Setelah selesai solat subuh, aku terus bersiap untuk ke pejabat. Kalimah Arab itu masih terlekat pada benakku. Akan ku cari maksudnya, itu yang aku janji. Apakah sebenarnya yang tersirat di dalam buku itu? Kenapa buku itu lain daripada yang lain. Alhamdulilah, ini adalah petunjuk Allah. Aku bersyukur Allah memberi petunjuk ketika aku di dalam kesusahan. Aku berdoa agar aku sentiasa mengingati Allah ketika aku di dalam kesenangan, insyaAllah.

Setelah sampai ke pejabat, aku menunaikan solat sunat dhuha sebab aku masih ingat sewaktu hujung minggu lepas, aku lihat ketika itu jam menunjukkan pukul 10 pagi. Aku lihat Anis terkocoh-kocoh membersihkan diri dan berwuduk. Ku lihat dia telah mengenakan telekung. Aku bertanya kepadanya, “Nak solat ke?”

“Anis ingin melakukan solat dhuha kerana solat dhuha penuh dengan berkat. Solat dhuha juga adalah amalan Rasulullah s.a.w. Anis kagum dengan Rasulullah s.a.w. Walaupun dia susah, miskin tapi dia mampu melakukan solat sunat dhuha. Tidak pernah sekali dia meninggalkan dhuha kerana dhuha adalah pintu segala rezeki dan Allah juga bersumpah dengsn waktu dhuha. Betapa hikmahnya waktu dhuha,” ringkas ceramah Anis kepadaku.

Dia senyum dan meninggalkanku. Aku kagum tapi aku malu dengan isteriku sendiri . Apa jenis ketua keluarga aku ni?

Setelah aku selesai solat dhuha, ku panggil setiausahaku.

“Afiqah, sila masuk ke bilik saya sekarang. Ada sesuatu perkara yang saya mahu kamu tolong saya sekarang.”

“Baik, encik,” ringkas jawapannya.

Afiqah sudah lama bekerja dengan aku. Aku percaya dengannya kerana dia adalah salah seorang wanita yang bekerja dengan aku yang berkelulusan tinggi. Perwatakannya agak pemalu. Pernah dulu dia bertanya kepadaku, “Encik, bolehkah saya mengenakan purdah di tempat kerja?” Aku hanya menjawab dua patah, “Tidak boleh.”

Bukan aku melarang tapi aurat wanita yang aku sendiri faham adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan pemakaian purdah mugkin akan menyukarkan untuk dia bekerja kelak.

“Afiqah, tolong carikan saya apa maksud perkataan arab ini "أنيس اليوميات"

Aku menulis pada sehelai kertas dan memberi kepadanya. Dengan sekali lihat sahaja Afiqah sudah memahami.

“Maksud perkataan ni adalah ‘Diari Anis’, Encik.”

Ringkas Afiqah menjawab. Di a mengerut keningnya apabila melihat aku termenung.

“Encik. Encik, ada apa-apa yang saya boleh tolong lagi?”

“Terima kasih, Afiqah. Kamu boleh pergi sambung kerja.”

Aku terfikir sejenak. Apa maksud semua ini? Penuh dengan teka teki.

Anis selalu termenung dan menangis. Apakah ini, adakah diari ini bermaksud luahan rasa Anis padaku atau rasa tidak puas hati atau cerita silamnya?

Ya Allah kurniakan aku petunjukMu, hatiku mengungkap.

Diari Anis berlegar-legar di benakku. Aku memikirkan cara untuk mengetahui seluruh cerita di sebalik diri Anis.

Dan yang aku kena rungkai, SIAPAKAH ANIS?


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO